Roslan dan Rosmah telah mula berkenalan dan menjalin cinta sejak 9 tahun dulu.
Ketika itu, Roslan berusia 29 tahun dan Rosmah berusia 25 tahun - usia yang amat sesuai untuk mendirikan rumahtangga.
Malangnya, disebabkan salah faham tentang sesuatu yang dilakukan oleh Rosmah, ayah Rosmah menganggap Roslan sebagai lelaki yang tak sesuai dijadikan menantu.
Kisahnya begini:
Haslin, kawan rapat dan kawan sekampung Rosmah, telah meminjam sejumlah wang dari Rosmah. Beberapa bulan kemudian, Haslin menelefon Rosmah kerana hendak membayar balik duit yang dipinjamnya itu. Rosmah, sebagai kawan rapat Haslin, tahu bahawa Haslin mempunyai akaun bank CIMB, sama seperti Roslan. Sedangkan Rosmah sendiri mempunyai akaun Maybank. Jadi, Rosmah telah menyuruh Haslin masukkan duit itu kedalam akaun Roslan.
Kebetulan, tak lama selepas itu, Haslin terjumpa ayah Rosmah, lalu mereka bercakap-cakap sebentar. Dalam mereka bersembang itu, Haslin ada menyebut tentang dia meminjam duit dari Rosmah dan memulangkannya kedalam akaun Roslan. Dia tak menyangka langsung akan ada kesan negatif akibat ceritanya itu.
Tapi cerita Haslin itu menyebabkan ayah Rosmah menyangka bahawa Roslan selama ini memakan duit Rosmah. Walau pun puas Rosmah menjelaskan perkara sebenar, ayahnya tetap tidak mahu menerima.
Lapan tahun telah berlalu sejak peristiwa itu, tetapi ayah Rosmah tetap enggan membenarkan Roslan dan Rosmah berkahwin. Roslan kini berusia 38 tahun dan Rosmah berusia 34 tahun.
Akhirnya, Roslan dan Rosmah memutuskan untuk kahwin di Siam.
Selepas nikah, mereka tetap tinggal berasingan kerana tak mahu ayah Rosmah tahu keadaan sebenar. Mungkin lama lagi baru mereka boleh tinggal bersama. Tapi, sekurang-kurangnya, sekarang mereka boleh berhubung sebagai suami-isteri yang sah. Mereka tak bercadang untuk ada anak, walau pun mereka ingin membina keluarga sendiri. Kalau ada anak, ayah Rosmah akan tahu mereka telah berkahwin. Dan mereka tak mahu ini berlaku, untuk menjaga hubungan ayah dan anak.
Inilah akibat wali enggan disebabkan salah faham dan tak ada tolak ansur.